Adaptasi
sebahagian daripada risalah Usrah dan Matlamatnya terbitan Lujnah
Tarbiah dan ******************************************************************************************************** |
PENGENALAN
|
MAKSUD Usrah dalam bahasa Arab ialah keluarga.
Sebagai istilah, usrah bermaksud satu program tetap yang dianjurkan oleh
kumpulan yang beriman dan bekerjasama untuk memahami dan menghayati
Islam.
ANGGOTA Bilangan
anggota usrah terhad. Dalam usrah pimpinan, anggotanya ialah ahli
jawatankuasa sesesuatu peringkat organisasi. Dalam PAS,
peringkat-peringkat itu ialah peringkat Jawatankuasa Pusat dan
Dewan-Dewannya, Badan Perhubungan Negeri dan Dewan-Dewannya, Jawatankuasa
Kawasan dan Dewan-Dewannya dan Jawatankuasa Cawangan dan
Dewan-Dewannya.
TEMPAT Usrah boleh diadakan di
rumah anggota usrah dengan cara bergilir-gilir atau di masjid, di surau,
di musalla atau sebagainya. |
TUJUAN
USRAH
|
- Meningkatkan kefahaman
anggota-anggota terhadap Islam dan menentukan sikap terhadap satu-satu
masalah sebagai umat Islam.
- Menambahkan penghayatan dan
menimbulkan perasaan tanggungjawab terhadap ajaran Islam secara peribadi
dan jemaah.
- Membina satu generasi Islam yang
mengenali Islam sebagai din wa daulah, menghayatinya dalam kehidupan
peribadi, menjadikan azam dan cita-cita serta tindakan mendakwahkannya
sebagai sistem hidup dalam keluarga, masyarakat dan negara.
- Membina generasi Islam yang
menegakkan akhlak Islamiah dalam diri dan sensitif terhadap segala
perkara yang tidak Islamik.
- Membina generasi Islam yang insaf
dan sedar akan pelbagai bentuk cabaran dan godaan yang mengancam
kemurnian Islam.
- Mendidik perasaan anggota supaya
bertanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya.
- Menghubungkan anggota secara
langsung dengan al-Quran dan Sunnah.
- Mengikhlaskan diri anggota kepada
Allah untuk mencari keredaan-Nya, mengharapkan pahala dan berasa gerun
terhadap seksaan-Nya. Sebaliknya bukan disebabkan
segan dengan naqib usrah atau kumpulannya. Oleh itu setiap anggota
hendaklah membetulkan niat, diikuti dengan amalan sekalipun tanpa arahan
sesiapa.
- Menggiat dan menyelaraskan usaha
mempelajari dan memahami Islam di kalangan anggota.
- Menyediakan tenaga yang benar-benar
berkemampuan berketrampilan untuk bergerak demi kepentingan
Islam.
- Memelihara organisasi daripada
dimasuki pemikiran yang keliru dan sumbang.
- Mengukuhkan perasaan bersaudara dan
memupuk semangat bertindak secara jemaah.
|
PELAKSANAAN USRAH
|
- Usrah diadakan seminggu atau dua
minggu sekali.
- Majlis usrah dikendalikan oleh
seorang naqib atau naqibah.
- Solat berjemaah, berwirid, membaca
al-Quran adalah rukun utama majlis usrah.
- Atur cara tetap usrah yang
dicadangkan ialah solat Maghrib berjemaah, berwirid dengan al-Ma'thurat* dan membincangkan kertas-kertas kerja yang
telah disediakan oleh naqib atau naqibah. Naqib hendaklah menghuraikan maksud
al-Ma'thurat, kelebihannya dan maksud kandungannya.
- Majlis usrah mestilah mempunyai
tajuk yang tertentu yang telah ditetapkan terlebih dahulu dan
dimaklumkan kepada anggota, sebaik-baiknya telah ditentukan bahan
rujukan atau teksnya.
- Sesudah berbincang dan berbahas dan
bertukar-tukar fikiran dengan teliti, maka majlis mengambil satu
keputusan atau rumusan yang menjadi pegangan kepada semua. Usrah ditegah
sama sekali ditamatkan tanpa menghasilkan sesuatu persetujuan.
Perbahasan boleh dilanjutkan kepada beberapa siri usrah sehingga dapat
rumusan yang bulat dan konkrit, sekiranya tajuk perbahasan merupakan isu
pokok dan memerlukan pandangan pimpinan yang lebih tinggi, maka
hendaklah dirujuk kepada peringkat yang lebih bertanggungjawab dalam
jemaah.
- Tajuk yang akan diusrahkan pada
minggu yang akan datang ditentukan oleh naqib atau menurut ketetapan
bersama atau menurut arahan pimpinan.
- Sebahagian daripada waktu usrah
hendaklah diperuntukkan khusus kepada organisasi dan hal ehwal semasa
dan perkembangan perjuangan umat Islam di dalam dan luar negara.
- Usrah dikehendaki bersurai di
sekitar jam 11 malam, sesudah membaca tasbih kafarah dan surah Al-Asr.
|
ADAB
USRAH
|
1. Ikhlas.
Ikhlas hanya kepada Allah seperti firman-Nya, maksudnya: Dan tidaklah mereka tiadalah disuruh, melainkan supaya
menyembah Allah, serta mengikhlaskan agama bagi-Nya, beribadat
mengharapkan keredaan-Nya) sambil cenderung kepada tauhid, dan supaya
mereka mendirikan solat dan memberikan zakat dan itulah agama yang lurus
(betul). (Al-Bayyinah, 98:5) Sabda Rasulullah salallahu alaihi
wassalam, maksudnya: Hanya segala amal itu dengan
niat dan hanya bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang dia
niatkan. (Mutaffaqun'alaih)
2. Meminta izin masuk. Meminta
izin untuk masuk serta memberi salam sebelum memasuki rumah anggota atau
tempat diadakan majlis usrah. Firman Allah Taala, maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam
rumah yang bukan rumahmu, sehingga kamu minta izin dan mengucapkan salam
(selamat) kepada yang empunyanya. Demikian itu lebih baik bagimu,
mudah-mudahan kamu mendapat peringatan. (An-Nur,
24:27)
3. Menepati masa. Datang ke majlis
tepat pada waktu yang ditetapkan. Sabda Rasulullah s.a.w.: Dari Abu
Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Tanda orang munafik itu tiga, iaitu jikalau dia berdusta,
jikalau berjanji dia memungkiri dan jikalau diamanahkan dia
khianat. (Mutaffaqun'alaih).
4. Suci. Datang ke majlis dalam
keadaan berwuduk dan memakai pakaian yang sopan, bersih, suci serta
sempurna. Maksudnya: Dari Abu Malik Al-Asy'ari r.a. katanya, Rasulullah
s.a.w. bersabda: Bersuci itu separuh daripada
keimanan. (Muslim) Sabda Rasulullah s.a.w. lagi, maksudnya: Dari
Usman bin Affan r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang berwuduk lalu memperbagus wuduknya
(menyempurnakan sesempurna mungkin) maka keluarlah kesalahan-kesalahannya
sehingga keluarnya itu sampai dari bawah kuku-kukunya. (Muslim)
Perkara ini diperlakukan supaya senang untuk mendirikan solat, mudah
apabila memegang al-Qur'an dan ayat-ayatnya dalam teks usrah, dan terjauh
daripada gangguan syaitan ... dapat berbincang tanpa
dipengaruhinya.
5. Beritahu naqib jika tidak
hadir. Jika ada yang tidak dapat hadir kerana uzur syarie, hendaklah
segera memberitahu kepada naqib atau naqibah atau sekurang-kurangnya
kepada sahabat yang menjadi tuan rumah. Hal ini bertujuan untuk (a)
.Melatih diri bertanggungjawab dalam setiap kerja, (b) supaya naqib
dan sahabat tidak tertunggu-tunggu, (c) supaya dapat mengelakkan
prasangka yang tidak baik, dan (d) supaya makanan yang disediakan
tuan rumah tidak berlebihan.
6. Bersedia dari segi mental
dan perlakuan. Datanglah ke majlis dengan persiapan yang telah
diamanahkan setelah kita sanggup untuk menunaikannya. Firman Allah
Subhanahu wa Ta'ala: Maksudnya: Dan penuhilah
perjanjian dan sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. (Al-Israk, 17:34) Perkara ini perlu agar majlis
usrah berjalan sebagaimana yang dirancang, kita dapat berlatih menunaikan
amanah yang kecil sebelum diberi amanah yang besar, dan akan menjadi
pendorong dan contoh kepada sahabat yang kemudian. Kegagalan kita bebuat
demikian dibimbangkan akan menjadi alasan kepada sahabat yang lain untuk
tidak membuat persiapan pada masa akan datang.
7. Membawa sumber dan alat tulis.
Sediakan keperluan seperti al-Qur'an, teks surah, buku-buku catatan dan
al-Ma'thurat (jika perlu) . Kegagalan berbuat demikian akan mengganggu
sahabat yang dikongsi teksnya.
8. Mengukuhkan ukhuwah.
Datang ke majlis dengan hasrat untuk mengukuhkan ukhuwah dan berkasih
sayang kerana Allah. Maksud hadis: Dari Abu Hurairah r.a. katanya:
Rasullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah Ta'ala
berfirman pada hari kiamat "Manakah orang-orang yang saling
cinta-mencintai kerana keagungan-Ku? Pada hari ini mereka itu akan Aku
beri naungan pada hari ini tiada naungan melainkan naungan-Ku
sendiri." (Muslim)
9. Menuntut ilmu. Berazam untuk
mendapatkan ilmu dan kefahaman bagi diamalkan dan disampaikan kepada orang
lain kecuali perkara yang rahsia. Maksud hadis: Dari Abu Hurairah r.a.
katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menempuh suatu jalan
untuk mencari ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan baginya
suatu jalan untuk menuju ke syurga. (Muslim)
10. Duduk bersopan. Duduk dengan
bersopan santun. Majlis usrah adalah majlis
zikrullah dan dihadiri sama oleh para malaikat. Janganlah engkau layangkan pemandangan engkau kepada barang
yang telah Kami beri kesukaan kepada bermacam-macam orang kafir dan
janganlah engkau berdukacita terhadap mereka itu dan rendahkanlah sayap
engkau kepada orang-orang yang beriman (berhina dirilah, jangan sombong).
(Al Hijr, 15:88) Nota penyunting: Janganlah
berlunjur. Apabila hendak beralih kedudukan, lakukan dengan sopan. Terlalu
kerap mengubah cara duduk boleh mengganggu sahabat
kita.
Sabda Rasullah s.a.w., maksudnya: ....
Dari Abu Hurairah radiallahu anhu dan Abu Said r.a. katanya, Rasulullah
s.a.w. bersabda: Tiada suatu kaum pun duduk-duduk
sambil berzikir kepada Allah melainkan dikelilingi oleh para malaikat dan
ditutupi oleh rahmat serta turunlah kepada mereka itu ketenangan di dalam
hati mereka dan Allah mengingatkan mereka kepada makhluk-makhluk yang ada
di sisinya yakni disebutkan-sebutkan hal ehwal mereka itu di kalangan para
Malaikat. (Muslim)
11. Fatihah dan selawat. Mulakan
majlis dengan membaca al-Fatihah dan berselawat kepada Nabi Muhammad
s.a.w. Maksud hadis: Dan daripada (Abu Hurairah) dari Nabi s.a.w.
sabdanya: Tiada suatu kaum pun yang duduk di suatu
majlis yang mereka tiada berzikir kepada Allah Ta'ala dalam majlis tadi,
juga tidak mengucapkan bacaan selawat kepada Nabi mereka di dalamnya,
melainkan atas mereka itu ada kekurangannya. Jikalau Allah berkehendak,
maka Allah akan menyeksa mereka dan jikalau Allah berkehendak, maka Allah
akan mengampunkan mereka. (Tarmizi) Nota penyunting: Berselawat tidak menjadi
amalan usrah saya pada masa lalu, sama ada semasa saya menjadi ahli, naqib
atau penasihat. Saya mesti membetulkan keadaan ini. Seorang sahabat usrah
saya, Samsudin bin Basar, memberi komen bahawa permulaan usrah nampak
selari dengan rukun khutbah. Tambahan: Alhamdulillah, pada 11 Februari
1999, apabila saya berpeluang menggantikan naqib, saya telah melaksanakan
hal ini.
12. Menyampaikan kepada orang
lain. Mendengar segala penjelasan, bacaan-bacaan, arahan-arahan dan
pengajaran dengan teliti dan tenang sambil cuba memahaminya, mencatat dan
mengingati dengan tepat sebelum disampaikan kepada orang lain. Maksud
hadis: Dari Abi Bakrah r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada yang tidak
hadir kerana sesungguhnya mudah-mudahan (diharapkan) orang yang
disampaikan itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham dari yang
menyampaikannya. (Bukhari dan Muslim)
13. Bertanya dengan izin. Memohon
penjelasan atau mengemukakan pertanyaan selepas diberi peluang atau
setelah meminta izin naqib atau naqibah.
14. Mencelah apabila sangat perlu.
Jangan mencelah ketika naqib atau sahabat sedang memberi penerangan
kecuali dalam perkara yang memerlukan teguran yang segera (seperti
membetulkan bacaan yang silap). Jika kita mencelah, naqib atau sahabat
usrah mungkin kehilangan tumpuan terhadap perkara yang sedang
diperkatakan.
15. Mengawal suara. Jangan
mengangkat suara tinggi lebih daripada keperluan pendengar. Ini adalah
perkara yang dilarang oleh Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah
suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.
(Luqman, 3:19)
16. Tenang dan serius. Jangan
banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah bersifat
tenang dan serius. Maksud hadis: Dari Anas r.a. katanya: Nabi Muhammad
s.a.w. mengucapkan sebuah khutbah yang saya tidak pernah mendengar suatu
khutbah pun seperti itu kerana amat menakutkan. Baginda bersabda: "Andai kata engkau semua dapat mengetahui apa yang aku
ketahui, nescaya engkau semua akan sedikit ketawa dan banyak
menangis." Para sahabat menutupi wajah masing-masing sambil
mendengar suara esakannya. (Mutaffaqun'alaih)
17. Jangan bergurau. Jangan banyak
bergurau. Umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan
bersungguh-sungguh dalam semua perkara. Banyak bergurau akan menjadikan
majlis usrah bertukar menjadi majlis jenaka, gurau senda dan gelak ketawa.
Keperluan bergurau terkawal dan terhad pada perkara yang benar sahaja.
Saya bergurau tetapi saya tidak berkata sesuatu
kecuali kebenaran. Nota penyunting: Saya belum pasti ungkapan ini
hadis atau kata-kata biasa. Jika hadis, sumber hadis ini tidak tercatat
dalam teks asal. Diharap ada pembaca yang lebih mengetahui memberi
respons.
18. Jangan merokok. Jangan merokok
di tempat usrah. Usahakanlah agar tabiat merokok ini boleh ditinggalkan
terus. Bau asap boleh mengganggu sahabat dan tuan rumah yang tidak
merokok. Nota penyunting: Alhamdulillah, telah hampir tujuh tahun saya
dapat meninggalkan tabiat merokok. Usrah berjaya membentuk peribadi saya
dari segi ini.
19. Jangan banyak soal. Jangan
mempersoalkan arahan-arahan yang telah diberikan dengan jelas dan menepati
syarat: Maksud hadis: Sesungguhnya binasa umat sebelum
kamu kerana mereka banyak menyoal (yang tidak berfaedah) dan mereka suka
menyalahi Nabi-nabi mereka. (Mutaffaqun'alaih)
20. Izin keluar majlis.
Minta izin dari naqib sebelum keluar dari majlis kerana sesuatu keperluan.
Ini adalah kerana keluar dari majlis tanpa izin adalah perangai orang
muafik.
Firman Allah, maksudnya: Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah
orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka
berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan
pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin
kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad)
mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka
apabila mereka meminta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah
izin kepada siapa yang kamu kehendaki antara mereka, dan mohonkanlah
ampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi
Maha Penyayang. (An-Nur
24:62)
21. Jangan bertengkar.
Jangan sekali-kali bertengkar kerana ia akan merenggangkan ukhuwah
sedangkan antara matlamat usrah ialah untuk memupuk ukhuwah.
Allah berfirman, maksudnya: Orang-orang mukmin itu sesungguhnya bersaudara. Sebab
damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu dan takutlah
kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat. (Al-Hujurat, 49:10)
Firman Allah lagi, Dan taatlah kepada Allah dan
Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan yang menyebabkan kamu
menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah
berserta orang-orang yang sabar. (Al-Anfal, 8:46)
22. Berusaha mengenali
sahabat. Sentiasa berusaha di dalam dan di luar majlis usrah untuk
mengenali sahabat-sahabat satu usrah.
23. Membaca tasbih kafarah. Akhiri
majlis dengan membaca tasbih kafarah dan surah al-Asr secara sedar dan memahami serta menghayati maknanya. Maksud hadis:
Daripada Abu Barzah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w.
bersabda pada penghabisannya jikalau beliau s.a.w. hendaklah berdiri dari
majlis yang ertinya: "Maha Suci Engkau ya Allah, dan saya mengucapkan
puji-pujian pada-Mu. Saya menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan
Engkau saya mohon ampun serta bertaubat pada-Mu." Kemudian ada seorang
lelaki berkata. "Ya Rasulullah! Sesungguhnya tuan mengucapkan sesuatu
ucapan yang tidak pernah tuan ucapkan sebelum ini." Baginda bersabda:
"Yang demikian itu adalah sebagai kafarah (penebus) daripada apa saja
yakni kekurangan-kekurangan atau kesalahan-kesalahan yang ada di dalam
majlis itu." (Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud juga diriwayatkan
oleh imam Hakim iaitu Abu Abdillah dalam kitab Al-Mustadrak dari riwayat
Aisyah radiallahu anha dan ia mengatakan bahawa hadis ini adalah sahih
isnadnya.)
24. Bersalaman. Bersalaman dan
saling bermaaf-maafan selepas selesai majlis. Firman Allah s.w.t.,
maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang menafkahkan
(hartanya), baik pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang
menahan marahnya serta memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai
orang-orang yang berbuat kebajikan. (Ali Imran, 3:134) Firman Allah
s.w.t. lagi: Maksudnya: Jadilah engkau pemaaf dan
suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta berpalinglah daripada
orang-orang yang bodoh." (Al-A'raf, 7:199)
25. Bersegera pulang. Terus pulang
apabila selesai majlis kecuali ada keperluan yang penting. Ini adalah
kerana (a) memberi peluang kepada tuan rumah untuk berkemas, dan
(b) Mungkin tuan rumah letih dan hendak segera berehat atau dia ada
urusan lain.
26. Menjaga rahsia jemaah.
Merahsiakan setiap perbincangan, maklumat atau arahan yang telah
diputuskan tentang sesuatu perkara itu sebagai rahsia atau setiap perkara
yang dikirakan tidak patut untuk disebarkan.
Itulah di antara adab-adab usrah yang
patut menjadi amalan setiap naqib atau naqibah dan setiap anggota usrah
supaya matlamat usrah akan tercapai, insya Allah.
|
RUKUN
USRAH
|
1. Taaruf. Taaruf
bermaksud berkenalan secara mendalam hingga menimbulkan kasih sayang dengan tujuan
al-hubbufillah. Firman Allah: Maksudnya: Sesungguhnya
orang-orang mukmin itu bersaudara ....." Dan Sabda Rasulullah
s.a.w., maksudnya: Orang yang beriman dengan orang
yang beriman yang lain laksana satu binaan, saling kuat menguat antara
satu dengan yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: Kami mengasihi saudara kerana dia adalah saudara pada jalan
Allah. Di samping itu sikap mahabbah mesti di buktikan dalam amalan
dan penghayatan bukan sekadar teori semata-mata. At-Taaruf ialah kenal
mengenal dari bab mufa'alah (daripada dua belah pihak) salbi dan i-jabi
(memberi dan menerima)--kenal yang benar-benar, tahu selok-belok tentang
saudara kita, supaya kita membuat dan bertindak untuk mengarah sesuatu
yang sesuai dengannya.
2. Tafahum. Tafahum maksudnya
bersefahaman. At-tafahum daripada bab mufa'alah juga, bertujuan supaya
usrah membuahkan suatu sikap, satu tindakan daripada sama-sama faham,
sama-sama beramal iaitu sama-sama menjalankan perintah Allah, tunduk
kepada kebenaran, muhasabah diri, muhasabah sama-sama jemaah dan disusuli
dengan nasihat menasihati antara saudara (ad-Dinul nasihah). Awas jangan
sama sekali nasihat menasihati ini menimbulkan apa-apa perasaan yang tidak
senang kepada satu sama lain, baik yang memberi atau menerima, cuba
renungkan hadith di atas.
3. Takaful. Rukun ini merupakan
dasar membela nasib sesama sendiri, supaya
jangan ada orang yang terbiar atau terlantar nasibnya tidak terbela.
Maksud rukun ini ialah anggota usrah hendaklah mengambil berat
masalah-masalah yang dihadapi oleh saudaranya. Takaful ini merupakan
pancaran pekerti yang dilahirkan daripada keimanan, dan merupakan inti
sari daripada ukhuwah yang murni.
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:
Sesungguhnya seorang kamu pergi menunaikan sesuatu
keperluan saudaranya lebih baik baginya daripada beriktikaf di masjid aku
selama sebulan. (....) Dan sabdanya lagi, maksudnya: Sesiapa yang
telah memasukkan kegembiraan iaitu menghilangkan kesusahan dan kesukaran
kepada keluarga muslim, maka Tuhan tidak melihat balasan kepada selain
syurga. (....) Inilah gambaran besar atau kecilnya at-takaful dalam Islam
bagi rukun usrah ketiga. |
TUGAS
NAQIB
|
- Bahan asas. Pastikan anak buah
mempunyai bahan-bahan asas seperti al-Qur'an dan terjemahannya, buku dan
alat tulis.
- Muhasabah. Adakan satu sistem
untuk muhasabah anak buah. Lakukan mengikut tahap-tahap tertentu, secara
terbuka atau individu.
- Jamuan. Jamuan boleh ada, boleh
tiada. Jika diadakan, pastikan ia sederhana--bukan majlis menjamu
selera.
- Menjaga ibadah khusus:
Kesempurnaan beribadat seperti solat, puasa, zakat dan ibadat nawafil
mesti diutamakan. Pastikan anak buah anda benar-benar mengerti dan
mengamalkannya. Sekali sekala, anjurkan ibadat nawafil jamai seperti
qiamullail, puasa, zakat harta dan
lain-lain.
- Pemilihan tajuk. Gunakan
kebijaksanaan dalam memilih tajuk usrah supaya dapat mengubati kelemahan
yang wujud dalam diri anak buah anda dengan memilih tajuk yang sesuai
dengan suasana anak buah anda, contohnya sekiranya usrah anda lemah
dalam ikatan persaudaraan atau tidak cukup mesra maka jadikan tajuk
usrah persaudaraan dan tuntutannya dalam Islam.
- Cungkil bakat. Naqib hendaklah
mencungkil bakat yang terpendam di dalam organisasi. Mereka mempunyai
kebolehan dalam menulis kertas kerja dan mengajar, ceramah dan
lain-lainnya mestilah diasah bakatnya dalam usrah.
- Tambah ilmu. Anda mestilah
menggalakkan anak buah anda membaca buku-buku ilmiah, pengetahuan
termasuk majalah-majalah, surat khabar, kertas kerja, kajian ilmiah dan
lain-lainnya. Tugaskan mereka membuat ringkasan dalam usrah, khususnya
buku-buku keluaran jamaah kita termasuk kaset-kaset rakaman syarahan
pimpinan parti.
- Wujudkan subkumpulan. Anggota
usrah yang sedia ada hendaklah ditugaskan mengadakan kelompok-kelompok
usrah yang baru, mereka ditugaskan memimpinnya. Anda hendaklah menjadi
penyelia kepada kelompok-kelompok baru itu.
- Teks usrah. Pada peringkat
permulaan dinasihatkan supaya setiap usrah mempunyai kitab atau teks
yang tertentu. Sekiranya perlu, jamaah hendaklah membeli kitab-kitab
rujukan tersebut.
- Tabung usrah. Usahakan sedaya
upaya usrah mempunyai tabung, setiap kali berusrah hendaklah dipungut
derma walaupun kadar yang paling sedikit.
- Aktiviti sokongan. Sekali
sekala anjurkan perkelahan di tempat-tempat yang difikirkan munasabah
seperti di tepi pantai di sungai, di pedalaman dan ziarah tempat-tempat
bersejarah atau tokoh-tokoh jamaah kita khususnya para ulama. Jadikan
muhasabah ini suatu peluang mengenali rakan seperjuangan saudara dari
dekat.
- Profil ahli. Adalah amat
berguna sekiranya naqib mempunyai nota atau diari, khususnya mengenai
anggota usrah. Diari ini mengandungi maklumat yang membolehkan
mengetahui kebolehan, keistimewaan kedudukan serta iltizam ahli
usrahnya.
- Mengikuti perkembangan sahsiah.
Naqib bertanggungjawab mengembang dan mengikuti kemajuan sahsiah anggota
usrah. Adab mestilah dijaga--jangan sama sekali berlaku jadar (berbalah)
dan perbincangan yang tidak berguna sehingga terkeluar daripada adab
seperti mengeluarkan suara nyaring.
|
..................................................................
3 Disember 2001
(copy n paste)
|
No comments:
Post a Comment